Wednesday, 19 October 2016

Nasi Ayam Mudah untuk Anak

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Nasi ayam sememangnya menjadi kegemaran seisi keluarga. Selain cara penyediaannya yang mudah, nasi ayam juga merupakan hidangan yang seimbang dan berkhasiat.

Pada asasnya, penyediaan nasi ayam mudah dan ringkas sahaja tapi terpulang kepada versi dan selera masing-masing.

Berikut resipi nasi ayam mudah yang saya sediakan untuk anak-anak. Ringkas sahaja dek bahan-bahan yang terhad di dapur.

NASI AYAM MUDAH

Bahan-bahan:

A. Untuk air rebusan ayam

2 ketul ayam (setelah dipotong lapan)
1 sudu teh serbuk Chinese Five Spice
1 sudu teh garam bukit
1 inci halia (diketuk)
3 ulas bawang putih (diketuk)
2-3 liter air

B. Untuk nasi

2 tin beras (dicuci dan ditoskan)
3 helai daun pandan (disimpul)
2 sudu besar marjerin
1/2 inci halia (diketuk)

C. Untuk sup

Air rebusan ayam
1/2 batang lobak merah
Sedikit kobis bunga
Garam dan lada sulah

Cara masak:

A. Air rebusan ayam

- Ayam direbus dengan semua bahan.
- Tutup periuk dan didihkan dengan api sederhana.
- Setelah mendidih dan ayam sudah empuk, boleh dikeluarkan dan ditos.

B. Nasi

- Panaskan marjerin, tumis halia dan daun pandan.
- Masukkan beras yang telah ditos. Gaul sebentar. Kecilkan api.
- Masukkan air rebusan ayam (3 tin).
- Kacau rata. Tutup api.
- Teruskan proses masak nasi tadi menggunakan periuk nasi elektrik seperti biasa.

C. Sup

- Masukkan lobak merah dan kobis bunga ke dalam air rebusan ayam dan tutup periuk.
- Didihkan hingga sayur empuk.
- Jika perlu tambahkan garam dan lada sulah.

D. Ayam

- Ayam yang ditos tadi diperap dengan sos tiram dan kicap.
- Lumur rata ke seluruh bahagian ayam.
- Goreng atau bakar ayam sekejap sahaja kerana ayam telah masak.

Untuk kuah cili dan kicap, saya hanya gunakan sos cili dan kicap biasa sahaja untuk menjimatkan masa. Sayuran tambahan, saya gunakan daun salad dan timun.

Tip tambahan:
- Untuk air rebusan ayam, boleh gantikan Chinese Five Spice dengan bunjut sup atau rempah 4 sekawan.
- Untuk nasi lebih harum, boleh masukkan sedikit lemak ayam semasa menumis.
- Untuk sup, boleh ditabur dengan daun sup dan bawang goreng.
- Sos cili boleh diganti dengan sos cili thai.

Selamat mencuba!

No comments:

Post a Comment