Tuesday 22 May 2018

Anak Tak Nak Makan Nasi? Gantikan dengan 5 Menu Ini

Teks: Hifzaila Hafni

Anak taknak makan nasi? Jangan risau, ibu boleh gantikan nasi dengan sumber karbohidrat yang lain. Anak mungkin juga jemu dengan hidangan nasi setiap hari. Apa kata ibu cuba tukarkan selera dengan 5 menu mudah ini.

1. Pasta Carbonara
Hidangan pasta dengan kuah krim carbonara boleh memancing selera anak. Apatah lagi jika menggunakan pasta yang berbentuk unik seperti spiral atau bow tie. Anak pasti seronok dan teruja. Kuah carbonara boleh disediakan sendiri menggunakan susu dan krim, lebih enak ditambah dengan ayam cincang dan kacang pis. Tapi awas, jika anak yang bermasalah berat badan berlebihan perlu kurangkan pengambilan menu ini.

2. Spagheti Bolognaise
Hidangan yang mudah dan ringkas. Di samping hanya daging atau ayam cincang dalam kuah bolognaise (kuah tomato), tambahkan lobak merah atau kobis bunga yang telah dicincang ke dalam kuah. Biarpun ringkas dan cepat disediakan, tetap kaya khasiat!

3. Kentang Lenyek
Salah satu sumber karbohidrat adalah ubi kentang. Kentang boleh direbus dan dilenyek dan dimakan bersama ayam atau daging panggang. Boleh juga sediakan coleslaw atau salad buah-buahan sebagai hidangan pelengkap.

4. Makaroni Bakar
Hidangan yang menyelerakan dan seimbang untuk anak anda. Gabungan makaroni, keju, ayam atau daging cincang beserta sos pilihan yang dibakar. Masukkan juga herba seperti oregano atau parsli. Makan bersama iringan sayur-sayuran yang telah dicelur atau dibuat salad. Anak pasti makan dengan teruja.

5. Soto
Nasi impit sebagai sumber karbohidrat. Ditambah dengan sup ayam sebagai sumber protein. Selain tauge, boleh cuba masukkan sawi atau kobis. Sup ayam yang dimasak beserta rempah amat baik untuk tingkatkan sistem imun anak.

6. Lontong
Juga menggunakan nasi impit tetapi dengan kuah lemak. Bagi anak yang cerewet atau kurang berat badan boleh cuba menu ini. Masukkan protein seperti tempe dan tauhu dalam kuah, serta sayur seperti kacang buncis, lobak merah dan kobis. Bertambah sedap jika ditambah dengan kuah kacang atau sambal sotong (untuk anak yang lebih besar).

7. Laksa
Mi laksa daripada beras adalah sumber karbohidrat. Kuah laksa yang diperbuat daripada ikan memberi sumber protein. Boleh juga ditambah telur rebus. Sayuran untuk laksa lazimnya timun dan salad atau boleh juga letakkan kepingan nenas.

Nah, antara 7 menu yang sesuai dihidangkan untuk anak yang jemu atau bosan dengan nasi. Jangan risau jika anak menolak nasi, ibu boleh pelbagaikan menu anak dengan sumber karbohidrat lain. Yang penting, anak mahu dan seronok semasa makan.