Showing posts with label Bab 1 Pengenalan/Nutrisi Anak. Show all posts
Showing posts with label Bab 1 Pengenalan/Nutrisi Anak. Show all posts

Sunday, 17 September 2023

Pengenalan

Menghasilkan sebuah naskhah berkaitan pemakanan anak merupakan impian saya sejak lahirnya anak pertama. Disebabkan kekurangan ilmu penyusuan dan pemakanan anak pada waktu itu, saya mula mencari, membaca dan menggali lebih lagi dengan harapan dapat memberikan makanan yang terbaik buat anak.

Diuji dengan pelbagai masalah kesihatan dan pemakanan anak sejak dia berusia kurang setahun lagi membuatkan saya terpanggil untuk berkongsi maklumat tentang pemakanan dan nutrisi kanak-kanak. Selain itu, saya juga mahu pengalaman menyusu, memberi anak makan dan menyediakan makanan untuk anak dicatatkan di sini sebagai rujukan dan kenangan di masa depan.

Dengan lahirnya naskhah ini, diharapkan dapat memberi sedikit gambaran kepada ibu yang akan mula beri anak makan seterusnya menjadi panduan kepada ibu bapa untuk memastikan anak mendapat nutrisi yang secukupnya.

Saya bukanlah orang yang terbaik untuk berbicara tentang pemakanan anak, sedangkan saya sendiri juga masih banyak amalan pemakanan yang perlu diperbaik. Namun, saya tetap cuba untuk menjaga dan mengawal semampu saya, apa yang anak-anak makan demi kesihatan mereka.

Semoga naskhah ini bermanfaat buat semua.

Anak sihat, anak hebat.

Hifzaila Hafni
www.panduanpemakanananak.blogspot.my

Friday, 18 March 2016

Panduan Penyediaan Sayur untuk Anak



Sayur... bukan saja anak, kadang-kadang mak ayah pun tak makan sayur, betul tak?

Cuba-cubalah biasakan. Banyak pilihan sayur yang boleh dimakan. Sayur daun hijau, sayur jenis kacang, sayur berubi dan lain-lain lagi. Kalau kita pun tak makan, bagaimana nak galakkan anak makan?

Semasa menyediakan hidangan sayur, untuk pastikan semua zatnya terpelihara, boleh ikuti panduan berikut  yang dikongsi oleh Puan Norfiza Mohd Nor, Pengarah Akademik di Institut Makanan Malaysia.

Antara panduan penyediaan sayur:

1. Elak memotong sayur secara kasar sebelum masak. Potong dengan cermat. Hanya buang bahagian yang tidak boleh dimakan atau potong dalam saiz yang lebih besar.

2. Gunakan pisau yang tajam kerana pisau yang tumpul akan 'menumpulkan' nutrien dan vitamin yang terdapat pada sayur.

3. Basuh dengan cepat sebelum anda memotong supaya khasiatnya dikekalkan. Jangan merendam terlalu lama.

4. Pastikan periuk ditutup semasa merebus sayur.

5. Jangan masak sayur hingga terlalu layu. Masukkan sayur ketika air mendidih dengan kuantiti air yang sedikit dan tutup secepat mungkin.

Sebenarnya memasak sayur hanya perlu masa yang singkat dan resipi yang mudah sahaja.

Jom kita lebihkan makan sayur dan galakkan anak-anak turut rasa seronok makan sayur :)