Sunday, 17 September 2023

Pengenalan

Menghasilkan sebuah naskhah berkaitan pemakanan anak merupakan impian saya sejak lahirnya anak pertama. Disebabkan kekurangan ilmu penyusuan dan pemakanan anak pada waktu itu, saya mula mencari, membaca dan menggali lebih lagi dengan harapan dapat memberikan makanan yang terbaik buat anak.

Diuji dengan pelbagai masalah kesihatan dan pemakanan anak sejak dia berusia kurang setahun lagi membuatkan saya terpanggil untuk berkongsi maklumat tentang pemakanan dan nutrisi kanak-kanak. Selain itu, saya juga mahu pengalaman menyusu, memberi anak makan dan menyediakan makanan untuk anak dicatatkan di sini sebagai rujukan dan kenangan di masa depan.

Dengan lahirnya naskhah ini, diharapkan dapat memberi sedikit gambaran kepada ibu yang akan mula beri anak makan seterusnya menjadi panduan kepada ibu bapa untuk memastikan anak mendapat nutrisi yang secukupnya.

Saya bukanlah orang yang terbaik untuk berbicara tentang pemakanan anak, sedangkan saya sendiri juga masih banyak amalan pemakanan yang perlu diperbaik. Namun, saya tetap cuba untuk menjaga dan mengawal semampu saya, apa yang anak-anak makan demi kesihatan mereka.

Semoga naskhah ini bermanfaat buat semua.

Anak sihat, anak hebat.

Hifzaila Hafni
www.panduanpemakanananak.blogspot.my

Wednesday, 30 October 2019

Menu Anak: Makaroni Sup

Jemu nasi, ber-makaroni hari ini. Sesuai untuk anak berumur 10 bulan ke atas. 

Jika anak ada alergi telur, tak perlu masukkan ya.

Makaroni Sup

Rebus makaroni.
Toskan. 
Tumis bebawang. 
Masukkan air, lobak merah, saderi. 
Dah mendidih, pecahkan telur sebiji ke dalam. 
Tunggu 3 minit lagi. Tutup api. 
Masukkan dalam mangkuk baby. 
Biar sejuk sikit.

Jom makan!


Catatan 31.10.2017



Wednesday, 8 May 2019

Ulasan Ebook Panduan Pemakanan Anak oleh Puan Nor Amalina Rohaizad

Ulasan Ebook Panduan Pemakanan Anak
(http://panduanpemakanananak.blogspot.my/)

Menjadi seorang ibu, saya amat menekankan pemilihan makanan yang sihat dan berkhasiat untuk anak-anak. Lebih-lebih lagi anak sulung saya mempunyai ekzema. Saya perlu sentiasa peka dengan menu yang dihidangkan setiap hari supaya lengkap nutrisi yang diambil.

Ebook ini adalah perkongsian tentang pemakanan dan nutrisi anak-anak pada tahun pertama usia mereka. Puan Hifzaila menyusun dengan baik apa yang perlu dan tidak perlu sewaktu merancang menu si manja.

Bab awal ebook ini dimulakan dengan info penyusuan eksklusif. Amat penting bagi seorang ibu menyediakan diri dengan ilmu ini supaya perjalanan penyusuan menjadi lancar. Beberapa masalah sewaktu penyusuan ada dikupas di dalam ebook ini untuk menjadi panduan para ibu.

Seterusnya untuk bayi 6 hingga 12 bulan, Puan Hifzaila ada berkongsi pelbagai menu berkhasiat yang kaya dengan nutrisi. Bagi yang baru pertama kali menimang cahaya mata, sesungguhnya ebook ini harus anda baca.

Terima kasih dan tahniah Puan Hifzaila. Ebook yang sungguh berinformasi.


Nor Amalina Rohaizad
https://asaskraffelt.blogspot.my

Ulasan Ebook Panduan Pemakanan Anak oleh Puan Natrah Mohamed

Ulasan Ebook Panduan Pemakanan Anak (www.panduanpemakanananak.blogspot.com)


Teks: Natrah Mohamed


Menarik! Puan Hifzaila menulis secara lengkap dan apa yang patut, apa yang tidak patut, sukatan menu, tips, sebab, alasan dan kisah-kisah berkaitan pemakanan anak. 


Sebagai seorang ibu yang sedang mendidik, membesar dan mengawal pemakanan 3 orang anak, saya sangat tertarik dengan ebook ini. Dekat dihati saya! Malah sangat terkesan.

Terasa macam diketuk-ketuk kepala kerana banyak etika pemakanan salah masih diamal oleh saya dan suami. Terhadap anak-anak kami. Tinggal di bandar, urusan bisnes dan keluarga yang tidak pernah habis, menyebabkan kami gagal sediakan menu sebaiknya buat anak. Walau banyak yang telah kami rasakan telah praktik, namun banyak lagi yang belum rupanya. Adeh!

Ibu-ibu, bapa-bapa, ayuh dapatkan ebook ini. Fahami. Dan perbetul apa yang kurang. Seorang ibu, orang pertama perkenalkan anak dengan makanan iaitu susu ibu. Banyak panduan penyusuan dalam ebook ini. Seorang ibu, orang pertama perkenalkan anak dengan makanan pelengkap pertama. Banyak tip berguna dalam ebook ini.



Dapatkan ebook ini segera. Berikan yang terbaik untuk anak-anak.

Natrah Mohamed
www.natrahmohamed.com

Ulasan Ebook Panduan Pemakanan Anak oleh Puan Zureiny Zulkafly

Ulasan: Zureiny Zulkafly (www.setelahhujanteduh.blogspot.my)
Ebook hasil tulis Puan Zaila Hafni ini menambah pengetahuan daripada apa yang saya lakukan selama ini.  Sebagai seorang pengasuh dan dalam masa yang sama membesarkan sendiri 2 anak saya, soal pemakanan sihat anak-anak bukan satu perkara yang boleh diambil mudah.
Saya juga mengamalkan 4 Days Rule pada kali pertama memberi anak kecil makan.  Saya rasa teruja kerana bukan semua ibu tahu tentang ini.  Olahan ayat yang ringkas dan fakta yang disusun kemas memudahkan kefahaman untuk mereka yang pertama kali membacanya.
Ebook ini sesuai untuk bacaan ibu-ibu muda yang pertama kali melalui pengalaman memperkenalkan makanan kepada si manja.  Beliau turut menyentuh tentang penyusuan ibu secara eksklusif untuk 6 bulan pertama dan susunan pemakanan yang sihat dan seimbang sehingga anak berusia 12 bulan.

Tahniah Puan Zaila!  Komitmen dan minat beliau dalam soal pemakanan anak telah melahirkan ebook yang baik ini.

Monday, 22 April 2019

Pemakanan Anak Ketika Muntah, Cirit-birit

Teks: Hifzaila Hafni

Anak-anak yang mengalami muntah dan cirit-birit perlu diberi lebih perhatian kerana berisiko tinggi untuk mengalami dehidrasi (kurang air dalam badan).

Muntah yang kerap dan cirit-birit yang berterusan selama beberapa jam mampu membuatkan anak letih, lesu, tidak bermaya dan hilang tenaga. Kehilangan air dalam badan sangat ketara dan boleh menyebabkan pengsan atau kesan kepada otak*.

Antara langkah paling penting semasa anak kerap muntah dan cirit-birit adalah:

1. Tetap berikan anak air atau bagi muntah dan cirit-birit ringan, boleh berikan anak air garam (Smecta/ORS) dalam kuantiti yang sedikit tetapi kerap. Suapkan air sesudu selang 5 minit. Minum banyak sekaligus menggalakkan anak muntah lagi.

2. Boleh berikan air teh pekat. Sama juga sesudu setiap kali, boleh selang-seli dengan air garam. Rendam uncang teh dalam setengah cawan air mendidih. Biarkan beberapa ketika hingga warnanya bertukar gelap. Tak perlu tambah gula. Teh kelat ini bertujuan untuk kurangkan perut 'meragam'.

3. Jika anak tak boleh terima air garam atau Smecta, boleh cuba minuman isotonik seperti 100 Plus. Tapi pilih yang tiada karbonat atau biarkan 'gas'nya terbebas dahulu jika gunakan 100 Plus yang biasa. Juga berikan sesudu setiap kali, selang-seli dengan teh kelat.

4. Elakkan memberi susu atau cecair tenusu lain buat sementara waktu. Bahan tenusu sukar dihadam perut dan menggalakkan lagi muntah dan cirit-birit.

Jika keadaan anak tidak berubah dan semakin lemah, perlu cepat ke hospital untuk rawatan. Ini untuk mengelakkan anak mengalami dehidrasi yang teruk.

Tuesday, 22 May 2018

Anak Tak Nak Makan Nasi? Gantikan dengan 5 Menu Ini

Teks: Hifzaila Hafni

Anak taknak makan nasi? Jangan risau, ibu boleh gantikan nasi dengan sumber karbohidrat yang lain. Anak mungkin juga jemu dengan hidangan nasi setiap hari. Apa kata ibu cuba tukarkan selera dengan 5 menu mudah ini.

1. Pasta Carbonara
Hidangan pasta dengan kuah krim carbonara boleh memancing selera anak. Apatah lagi jika menggunakan pasta yang berbentuk unik seperti spiral atau bow tie. Anak pasti seronok dan teruja. Kuah carbonara boleh disediakan sendiri menggunakan susu dan krim, lebih enak ditambah dengan ayam cincang dan kacang pis. Tapi awas, jika anak yang bermasalah berat badan berlebihan perlu kurangkan pengambilan menu ini.

2. Spagheti Bolognaise
Hidangan yang mudah dan ringkas. Di samping hanya daging atau ayam cincang dalam kuah bolognaise (kuah tomato), tambahkan lobak merah atau kobis bunga yang telah dicincang ke dalam kuah. Biarpun ringkas dan cepat disediakan, tetap kaya khasiat!

3. Kentang Lenyek
Salah satu sumber karbohidrat adalah ubi kentang. Kentang boleh direbus dan dilenyek dan dimakan bersama ayam atau daging panggang. Boleh juga sediakan coleslaw atau salad buah-buahan sebagai hidangan pelengkap.

4. Makaroni Bakar
Hidangan yang menyelerakan dan seimbang untuk anak anda. Gabungan makaroni, keju, ayam atau daging cincang beserta sos pilihan yang dibakar. Masukkan juga herba seperti oregano atau parsli. Makan bersama iringan sayur-sayuran yang telah dicelur atau dibuat salad. Anak pasti makan dengan teruja.

5. Soto
Nasi impit sebagai sumber karbohidrat. Ditambah dengan sup ayam sebagai sumber protein. Selain tauge, boleh cuba masukkan sawi atau kobis. Sup ayam yang dimasak beserta rempah amat baik untuk tingkatkan sistem imun anak.

6. Lontong
Juga menggunakan nasi impit tetapi dengan kuah lemak. Bagi anak yang cerewet atau kurang berat badan boleh cuba menu ini. Masukkan protein seperti tempe dan tauhu dalam kuah, serta sayur seperti kacang buncis, lobak merah dan kobis. Bertambah sedap jika ditambah dengan kuah kacang atau sambal sotong (untuk anak yang lebih besar).

7. Laksa
Mi laksa daripada beras adalah sumber karbohidrat. Kuah laksa yang diperbuat daripada ikan memberi sumber protein. Boleh juga ditambah telur rebus. Sayuran untuk laksa lazimnya timun dan salad atau boleh juga letakkan kepingan nenas.

Nah, antara 7 menu yang sesuai dihidangkan untuk anak yang jemu atau bosan dengan nasi. Jangan risau jika anak menolak nasi, ibu boleh pelbagaikan menu anak dengan sumber karbohidrat lain. Yang penting, anak mahu dan seronok semasa makan.