Thursday 9 November 2017

Bab 4 Entri 7 : Anak Suka Makanan Manis?

Bayi yang menggemari makanan manis atau mempunyai 'sweet tooth' adakalanya meresahkan ibu. Ini kerana anak akan kurang gemar atau menolak makanan yang kurang berperisa atau tawar seperti sayur-sayuran atau air kosong. 

Apakah cara yang boleh dilakukan untuk menangani masalah bayi 'sweet tooth'?

1. Cuba sedaya upaya elak beri anak makanan yang mengandungi gula tambahan atau mengandungi gula tinggi. 

2. Perbanyakkan menu yang berasaskan sayuran atau cuba variasikan pelbagai jenis sayur untuk dia biasakan dengan rasa tersebut, berbanding buah.

3. Hanya berikan buah-buahan manis setelah selesai dengan sayuran.

4. Bayi menyusu badan biasanya lebih mudah menjadi 'sweet tooth' kerana rasa susu badan yang manis secara semula jadi. Namun, ibu boleh tukarkan kepada buah-buahan yang kurang manis seperti epal atau beri. 

5. Satu lagi cara, boleh cuba campurkan dan kisarkan sayuran yang bersifat manis dengan kurang manis. Contohnya, puri labu dengan brokoli, puri keledek dengan kobis bunga, puri kentang dengan kacang pea.


10 Info Berguna Sewaktu Sediakan Makanan Anak

Dalam menyediakan makanan anak, beberapa info ini boleh diikuti.

1. Semasa menyediakan puri buah untuk anak, pastikan teksturnya tidak terlalu pekat. Tambahkan sedikit air masak atau susu ibu supaya ia sedikit cair.

2. Dengan menambahkan lobak merah dan kentang ke dalam makanan anak, mampu membuka seleranya untuk makan disebabkan rasanya yang lemak manis semula jadi. Boleh masukkan ke dalam bubur atau dilenyek halus dan digaul bersama isi ayam atau ikan.

3. Buah betik dan pisang boleh diberi pada anak untuk memudahkan proses penghadaman dan mengurangkan sembelit. Buah-buahan ini juga kaya vitamin C.

4. Selain susu, ibu juga boleh berikan yogurt pada anak. Pilih yang asli, bukan yang berperisa kerana mengandungi gula tambahan. Yogurt mengandungi protein, kalsium dan vitamin penting yang baik untuk pertumbuhan anak. Campurkan dengan buah-buahan yang dipotong kecil. 

5. 5. Jika mahu masukkan kurma atau kismis ke dalam bubur nasi, masukkan di saat akhir untuk mengelakkan bubur berubah warna.

6. Bila menggunakan ikan, boleh pilih ikan tenggiri, merah atau salmon kerana rasanya yang enak dan kurang tulang. Ikan juga mengandungi omega 3 yang penting untuk perkembangan otak anak.

7. Jika mahu masukkan daging ke dalam bubur, pastikan ia dicincang halus untuk mengelakkan risiko tercekik di samping memudahkan anak mengunyah. Juga gunakan bahagian daging yang lembut dan dimasak hingga betul-betul empuk.

8. Untuk menjimatkan masa memasak dan memudahkan kerja memasak makanan anak, boleh sediakan stok rebusan sendiri seperti stok ayam atau stok sayuran. Makanan anak juga lebih enak.
9. Boleh gunakan beras wangi berbanding beras putih biasa untuk membuat bubur kerana beras wangi lebih mudah hancur dan lebih berkanji. Proses membuat bubur lebih mudah dan singkat, selain rasanya yang enak.

10. Di usia 9 bulan ke atas, makanan anak sudah tidak perlu dikisar atau dilenyek halus. Memadai sekadar memasak hingga lembut dan empuk, kemudian lenyek kasar dengan belakang sudu. Anak perlu belajar menerima makanan yang bertekstur lebih kasar di usia ini.