Sunday 17 September 2023

Bab 3 Entri 4 : Amalan 4 Days Rule

Yay! Anak dah boleh mula makan. Ada ibu yang teruja sangat nak bagi anak makan. Tapi jangan terlalu teruja, bayi yang baru mula nak makan bukanlah perlu makan sebagaimana kita.

Bayi perlu diperkenalkan dengan satu-satu bahan makanan sahaja pada suatu masa. Kalau kita bagi bubur nasi kosong yang dikisar halus, cuba selama 4 hari berturut-turut. Begitu juga kalau dengan bahan makanan lain. Tak kisahlah sama ada sayuran atau buah.

Tujuan 4 days rule ini adalah untuk kenal pasti kalau anak ada alahan pada sesuatu bahan makanan. Selalunya pada protein macam ayam, ikan, makanan laut, telur. Tapi elok juga uji pada apa saja bahan makanan untuk pastikan anak tak alami apa-apa masalah.

Buat permulaan, selepas 'lulus' sesuatu makanan, boleh cuba makanan lain pula yang sesuai dengan usianya.

Contoh, selepas nasi, boleh cuba kentang, lobak atau keledek.

Perhatikan bila anak ambil makanan tadi, ada perubahan tak. Contohnya sembelit atau kembung. Mungkin juga cirit birit. Jadi ibu boleh rancang tindakan seterusnya sama ada teruskan, hentikan atau tangguhkan sehingga anak besar sedikit.

Bab 4 Entri 8 : Cadangan Sukatan Makanan Sehari untuk Bayi 9 -12 Bulan

Enam kumpulan makanan berikut adalah penting dalam diet seharian anak. Makanan yang disediakan harus seimbang dan mengikut cadangan sukatan yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Kumpulan makanan dan cadangan sukatan bagi bayi umur 9 ke 12 bulan adalah:

1. Bijirin, hasil bijirin dan ubi-ubian
2 cawan bubur pekat

2. Sayur-sayuran
1/2 cawan sayur masak

3. Daging, ayam, ikan dan kekacang
2 sudu teh daging/isi ikan/ayam atau 1/2 biji telur

4. Susu
Susu ibu ikut kehendak bayi

5. Lemak, minyak (dimasukkan ke dalam makanan)
1 1/2 sudu teh minyak

Bab 4 Entri 9 : Contoh Menu Sehari

Berikut adalah contoh menu sehari bagi bayi berumur 9 ke 12 bulan, mengikut waktu makan utama dan snek.

Sarapan
1/2 cawan bubur
1 1/2 sudu tomato atau lobak merah
1 sudu sawi atau bayam

Minum pagi
1/2 potong betik

Makan Tengah hari
3/4 cawan bubur pekat
1 sudu teh daging
1 1/2 sudu tomato atau lobak merah
1 sudu sawi atau bayam

Minum Petang
1 biji pisang saiz kecil

Makan Malam
3/4 cawan bubur nasi pekat
1 sudu teh isi ikan
1 1/2 sudu tomato atau lobak merah
1 sudu sawi atau bayam
1 1/2 sudu teh minyak sayuran atau marjerin

Bab 4 Entri 10 : Merangsang Penghasilan Susu Badan

Sepanjang tempoh penyusuan, pasti akan ada pasang surutnya. Ada hari, susu yang terhasil banyak dan ada hari lain pula, yang keluar hanyalah titis-titis susu.

Begitulah. Penghasilan susu oleh seseorang ibu amat berkait rapat dengan pemakanan dan emosinya, jadi elak berputus asa kerana itu hanya cabaran kecil yang perlu dilalui untuk membesarkan seorang khalifah.

Tidak dinafikan, apabila anak meningkat usia bulan ke bulan, kebergantungannya pada susu badan mungkin berkurang dan adakalanya menyebabkan susu badan turut berkurangan kerana sudah mula makan. Atau susu badan berkurang disebabkan faktor lain.

Jadi bagaimanakah untuk merangsang semula penghasilan susu?

1. Pastikan anak menyusu dengan efisien.
Lebih banyak anak menyusu, lebih banyak susu akan terhasil. Ini yang dipanggil konsep demand and supply. Susu akan terhasil akibat adanya permintaan. Jadi usahakan untuk menyusu anak lebih kerap atau mengosongkan payudara (pam) mengikut waktu tertentu supaya tubuh menerima isyarat bahawa susu masih perlu dihasilkan.

2. Betulkan posisi penyusuan atau teknik penghisapan.
Adakalanya ibu mungkin terlepas pandang yang selama ini posisi penyusuan atau teknik penghisapan yang diamalkan kurang tepat. Posisi dan teknik yang salah boleh menyebabkan anak mengamuk, kurang minat dan memberi kesan kepada penghasilan susu ibu juga. Posisi penyusuan serta teknik penghisapan yang betul memastikan anak mendapat susu ibu dengan optimum selain mengelakkan masalah puting luka dan melecet.

Posisi penyusuan yang betul adalah seperti berikut.

Teknik penghisapan yang betul adalah seperti berikut.

3. Tukar-tukar payudara semasa menyusu, elakkan beri pada payudara yang anak suka sahaja.
Kedua-dua belah payudara perlu diguna bergilir-gilir supaya susu dapat dihasilkan seoptimum mungkin. Anak mungkin lebih suka salah satu payudara sahaja, namun biasakan juga dia dengan kedua-dua belah sekali.

Perlu juga elak menyusu mana-mana payudara dalam tempoh yang terlalu singkat dikhuatiri anak tidak mendapat kebaikan sepenuhnya. Anak sepatutnya mendapat foremilk dan hindmilk untuk pertumbuhan yang normal dan sihat. Jika menyusu terlalu sekejap pada mana-mana payudara, takut anak hanya mendapat foremilk (susu kaya air) berbanding hindmilk (susu kaya lemak).

4. Berehat dan tidur untuk kembalikan tenaga.

5. Pam payudara selepas atau sewaktu penyusuan untuk mengoptimumkan penghasilan susu badan.

Pengenalan

Menghasilkan sebuah naskhah berkaitan pemakanan anak merupakan impian saya sejak lahirnya anak pertama. Disebabkan kekurangan ilmu penyusuan dan pemakanan anak pada waktu itu, saya mula mencari, membaca dan menggali lebih lagi dengan harapan dapat memberikan makanan yang terbaik buat anak.

Diuji dengan pelbagai masalah kesihatan dan pemakanan anak sejak dia berusia kurang setahun lagi membuatkan saya terpanggil untuk berkongsi maklumat tentang pemakanan dan nutrisi kanak-kanak. Selain itu, saya juga mahu pengalaman menyusu, memberi anak makan dan menyediakan makanan untuk anak dicatatkan di sini sebagai rujukan dan kenangan di masa depan.

Dengan lahirnya naskhah ini, diharapkan dapat memberi sedikit gambaran kepada ibu yang akan mula beri anak makan seterusnya menjadi panduan kepada ibu bapa untuk memastikan anak mendapat nutrisi yang secukupnya.

Saya bukanlah orang yang terbaik untuk berbicara tentang pemakanan anak, sedangkan saya sendiri juga masih banyak amalan pemakanan yang perlu diperbaik. Namun, saya tetap cuba untuk menjaga dan mengawal semampu saya, apa yang anak-anak makan demi kesihatan mereka.

Semoga naskhah ini bermanfaat buat semua.

Anak sihat, anak hebat.

Hifzaila Hafni
www.panduanpemakanananak.blogspot.my

Wednesday 30 October 2019

Menu Anak: Makaroni Sup

Jemu nasi, ber-makaroni hari ini. Sesuai untuk anak berumur 10 bulan ke atas. 

Jika anak ada alergi telur, tak perlu masukkan ya.

Makaroni Sup

Rebus makaroni.
Toskan. 
Tumis bebawang. 
Masukkan air, lobak merah, saderi. 
Dah mendidih, pecahkan telur sebiji ke dalam. 
Tunggu 3 minit lagi. Tutup api. 
Masukkan dalam mangkuk baby. 
Biar sejuk sikit.

Jom makan!


Catatan 31.10.2017



Wednesday 8 May 2019

Ulasan Ebook Panduan Pemakanan Anak oleh Puan Nor Amalina Rohaizad

Ulasan Ebook Panduan Pemakanan Anak
(http://panduanpemakanananak.blogspot.my/)

Menjadi seorang ibu, saya amat menekankan pemilihan makanan yang sihat dan berkhasiat untuk anak-anak. Lebih-lebih lagi anak sulung saya mempunyai ekzema. Saya perlu sentiasa peka dengan menu yang dihidangkan setiap hari supaya lengkap nutrisi yang diambil.

Ebook ini adalah perkongsian tentang pemakanan dan nutrisi anak-anak pada tahun pertama usia mereka. Puan Hifzaila menyusun dengan baik apa yang perlu dan tidak perlu sewaktu merancang menu si manja.

Bab awal ebook ini dimulakan dengan info penyusuan eksklusif. Amat penting bagi seorang ibu menyediakan diri dengan ilmu ini supaya perjalanan penyusuan menjadi lancar. Beberapa masalah sewaktu penyusuan ada dikupas di dalam ebook ini untuk menjadi panduan para ibu.

Seterusnya untuk bayi 6 hingga 12 bulan, Puan Hifzaila ada berkongsi pelbagai menu berkhasiat yang kaya dengan nutrisi. Bagi yang baru pertama kali menimang cahaya mata, sesungguhnya ebook ini harus anda baca.

Terima kasih dan tahniah Puan Hifzaila. Ebook yang sungguh berinformasi.


Nor Amalina Rohaizad
https://asaskraffelt.blogspot.my