Monday 22 April 2019

Pemakanan Anak Ketika Muntah, Cirit-birit

Teks: Hifzaila Hafni

Anak-anak yang mengalami muntah dan cirit-birit perlu diberi lebih perhatian kerana berisiko tinggi untuk mengalami dehidrasi (kurang air dalam badan).

Muntah yang kerap dan cirit-birit yang berterusan selama beberapa jam mampu membuatkan anak letih, lesu, tidak bermaya dan hilang tenaga. Kehilangan air dalam badan sangat ketara dan boleh menyebabkan pengsan atau kesan kepada otak*.

Antara langkah paling penting semasa anak kerap muntah dan cirit-birit adalah:

1. Tetap berikan anak air atau bagi muntah dan cirit-birit ringan, boleh berikan anak air garam (Smecta/ORS) dalam kuantiti yang sedikit tetapi kerap. Suapkan air sesudu selang 5 minit. Minum banyak sekaligus menggalakkan anak muntah lagi.

2. Boleh berikan air teh pekat. Sama juga sesudu setiap kali, boleh selang-seli dengan air garam. Rendam uncang teh dalam setengah cawan air mendidih. Biarkan beberapa ketika hingga warnanya bertukar gelap. Tak perlu tambah gula. Teh kelat ini bertujuan untuk kurangkan perut 'meragam'.

3. Jika anak tak boleh terima air garam atau Smecta, boleh cuba minuman isotonik seperti 100 Plus. Tapi pilih yang tiada karbonat atau biarkan 'gas'nya terbebas dahulu jika gunakan 100 Plus yang biasa. Juga berikan sesudu setiap kali, selang-seli dengan teh kelat.

4. Elakkan memberi susu atau cecair tenusu lain buat sementara waktu. Bahan tenusu sukar dihadam perut dan menggalakkan lagi muntah dan cirit-birit.

Jika keadaan anak tidak berubah dan semakin lemah, perlu cepat ke hospital untuk rawatan. Ini untuk mengelakkan anak mengalami dehidrasi yang teruk.

No comments:

Post a Comment