Friday 18 March 2016

Beras Sangai, Serbuk Ikan Bilis dan Puri untuk Bayi

Teks: Hifzaila Hafni
Imej: Koleksi Zenty Erma

Saya seronok bila tengok ibu-ibu lain teruja sediakan makanan untuk anak-anak mereka. Kali ini, saya nak kongsikan cara sahabat saya sediakan stok makanan untuk anaknya yang berusia 7 bulan.
Sahabat saya ini, namanya Zenty Erma. Seorang doktor gigi yang berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia. Walaupun dengan jadual kerja yang padat dan sibuk, beliau tetap kuatkan semangat untuk sediakan makanan anak yang disediakan olehnya sendiri. Saya juga percaya ibu-ibu sibuk lain juga boleh lakukan sebagaimana sahabat saya ini.

Setiap hujung minggu, beliau akan siapkan beras dan ikan bilis yang telah disangai dan dikisar. Juga stok puri (kali ini puri kentang dan carrot).

Di sini saya kongsikan cara penyediaan bahan-bahan ini. Dulu pun saya buat macam ini juga masa Faheem baru mula makanan pejal, tapi tak sempat nak ambil gambar. Berikut cara saya sediakan cuma gambar saya pinjam sahabat saya punya.


1. Beras sangai dan kisar

Beras direndam semalaman. Kemudian ditos hingga betul-betul kering. Sangai dalam kuali hingga masak tapi hati-hati jangan sampai hangit. Guna api kecil sahaja dan dikacau selalu. Dah siap, kisarkan menggunakan mesin pengisar kering. Simpan dalam bekas. Nak bagi anak makan, masak sekejap je atas dapur (dan masukkan protein dan sayur) sebab beras dah masak dan hancur.

2. Serbuk ikan bilis

Ikan bilis dikopek (buang kepala, perut) dan dibersihkan. Juga rendam semalaman kemudian ditoskan. Bila dah kering, sangai dalam kuali, sama macam beras tadi. Kemudian kisar dalam mesin pengisar kering dan disimpan dalam bekas. Nak guna, hanya taburkan atas makanan anak. Bubur nasi, puri dan sebagainya. Kalau kita nak guna dalam masakan pun boleh, buat banyak sikit.



3. Puri kentang dan carrot

Bersihkan kentang dan carrot. Kupas kulit dan potong dadu. Stimkan. Kemudian kisar.

Kalau ada hand blender lebih mudah. Simpan dalam bekas kecil dan bekukan. Nak guna, keluarkan dari freezer sejam sebelum. Masukkan dalam bubur atau boleh panaskan untuk bagi anak makan terus.

Mudah dan tahan lama tapi kena simpan beku lah ya.











4. Kismis dan minyak zaitun.

Saya hanya guna sekali sekala. Sahabat saya guna ni. Saya kadangkala guna kurma. Minyak guna minyak masak atau marjerin (kuantiti yang sangat kecil) sebab tak ada stok macam ni di rumah.

Kismis/kurma ada rasa manis-manis sikit lagipun makanan sunnah kan. Minyak untuk lemak, tak perlu banyak. Sikit sahaja.







No comments:

Post a Comment