Friday 18 March 2016

Makanan Ibu Menyusu Perlu Ambil untuk Kurangkan Jaundis Bayi

Catatan ini ditulis sewaktu hari ke 14 saya berpantang anak kedua. Anak saya alami masalah jaundis sejak hari ketiga kelahiran. Namun menjelang hari ke 14 itu, alhamdulillah jaundis anak saya makin berkurang dan tak perlu untuk ulang ambil darah lagi (TSB). Bacaannya pun tak terlalu tinggi cuma ambil langkah berjaga-jaga.

Sepanjang 14 hari tersebut, sebenarnya ada juga hari yang saya hampir putus asa untuk tambahkan susu badan. Saya seakan buntu untuk buat apa lagi supaya anak saya puas menyusu dan menurunkan jaundisnya. Sebab langkah yang paling berkesan untuk menurunkan jaundis bayi adalah melalui penyusuan susu ibu. Dan bayi perlu membuang air kecil dan besar dengan kerap untuk cepat baik.

Tapi, dalam kes saya, anak saya hanya membuang air kecil dan besar masa hari pertama sahaja. Hari seterusnya hingga hampir hari ke-7, dia hanya membuang air kecil sahaja. Itu pun sedikit-sedikit. Risau juga tapi saya tetap teruskan penyusuan dan yakin susu badan akan bertambah dan mampu menurunkan jaundis anak. Saya tak mahu cepat mengalah dengan memberi susu formula. Terlalu awal untuk putus asa.
Setelah berurut, alhamdulillah pengaliran susu makin lancar dan bertambah. Saya turut paksa diri makan dengan kerap. Kalau tak makan minum mana kan nak ada susu badan. Suami pun belikan macam-macam untuk elak saya lapar dan masuk angin.

Ibu sedang berpantang elok makan sedikit-sedikit tetapi kerap. Selang sejam dua boleh makan. Kalau saya lah. Tapi ada juga masa yang terbabas. Bila anak asyik nak mengempeng (kata orang Jawa), kita nak buat apa pun tertangguh kejap.

Selain berurut, antara makanan yang menjadi milk booster untuk saya adalah:

1. Minuman panas / suam
Saya selang seli kan Vico, Horlicks, Nestum oat. Saya tambahkan sekali dengan serbuk protein (Energizing Soy Protein) untuk lebih khasiat. Ibu menyusu perlu ambil lebih protein untuk hasilkan susu badan yang berkhasiat untuk anak di samping membekalkan tenaga untuk ibu menguruskan anak.

2. Air masak
Saya memang jenis yang suka minum air masak. Cuma bila menyusu kena lagi banyak minum air. Kalau tak, macamana nak hasilkan susu. Lagi pulak saya ambil suplemen, memang perlu sangat minum banyak air untuk suplemen tu berfungsi dengan baik.

3. Buah mata kucing / longan kering
Buah-buah ini dijual kering, boleh dibeli di kedai ubat cina atau mana-mana pasar raya pun mungkin ada. Rebus dan minum airnya suam-suam. Makanlah buahnya sekali. Alhamdulillah.

4. Susu
Berpantang kali ni, saya minum susu kambing. Katanya elok untuk kecutkan rahim dan kurangkan jaundis pada anak (jika ada). Saya minum susu Hi Goat, 1 sachet sehari. Pernah cuba susu kambing segar tapi saya tak boleh telan. Kuat sangat bau dan rasanya. Susu kambing ni kadang-kadang saya masukkan dalam Vico atau Horlicks. Selain tu, untuk cukupkan kalsium seharian, saya ambil suplemen kalsium.

5. Nasi dan lauk panas
Dah nama orang Malaysia, mesti tak boleh kalau tak makan nasi. Rasa lengkap bila dapat jamah nasi biarpun sekali sehari. Untuk bekalan karbohidrat sebagai tenaga, selalunya saya ambil nasi selain roti. Nasi, kalau kena pula dengan lauk kegemaran saya, memang puas makan. Bila seronok makan, automatik susu bertambah sebab kita happy. Dan makin happy sebab dapat menyusu anak sampai kenyang. Insya Allah ☺
Dulu-dulu, kalau jaundis, mandikan anak dengan ubat sensei, bagi anggur hitam, minum susu kambing... sebenarnya ibu yang kena ambil semua tu dan khasiatnya dapat ke anak melalui susu badan. Perut anak terlalu awal untuk proses semua tu. 

Dan kadangkala kurang membantu juga tapi wallahu'alam.

Alhamdulillah bacaan jaundis anak pun dah tahap normal. Dan saya syukur saya dapat kurangkan jaundis ni melalui penyusuan susu ibu sepenuhnya. Anda yakin, insya Allah.

No comments:

Post a Comment